Tanjung Simpang Mengayau sudah ditulis dengan panjang lebar di blog ini. Bagi mereka yang terlepas dengan posting bagi destinasi pelancongan keluarga ini, anda boleh merujuk kembali ke artikel: Tanjung Simpang Mengayau, The Tip Of Borneo. Ini hanyalah artikel susulan dalam Bahasa Malaysia yang membolehkan pembaca blog yang selesa dengan BM memahami dengan lebih dalam mengapa Tanjung Simpang Mengayau merupakan satu tempat yang wajib anda lawati jika berkunjung ke negeri Sabah. Turut diselitkan dalam posting kali ini adalah, gambar-gambar tambahan yang menampilkan aktiviti berkeluarga yang boleh dilakukan ditempat ini. Untuk tempahan hotel, resort atau homestay di Tanjung Simpang Mengayau, saya cadangkan anda gunakan Booking.Com atau HotelCombined.Com. Ia lebih mudah, ringkas dengan cara pembayaran online yang selamat.
Dengan nama gelarannya “Tip Of Borneo”, Tanjung Simpang Mengayau merujuk kepada tempat paling UTARA di pulau Borneo. Ya, yang teratas sekali jika dilihat di peta Borneo. Oleh itu, jika anda ke pulau Borneo, maka tidak MENCUKUPI jika kawasan ini tidak dikunjungi. Ia juga merupakan titik pertemuan antara lautan Sulu dan Laut Cina Selatan. Garis pertemuan ini boleh dilihat dengan jelas menggunakan mata kasar jika anda berdiri di tempat yang betul. Dapatkan bantuan penduduk tempatan untuk melihat garis pertemuan ini. Namun, selain dari faktor-faktor di atas, Tanjung Simpang Mengayau juga merupakan destinasi pelancongan yang indah dengan udara yang bersih lagi segar. Sesuai untuk anda berehat-rehat bersama keluarga menikmat keindahan alam, BBQ di waktu malam dan bermain air sambil berenang di pantainya yang bersih lagi cantik.
Terdapat juga resort dan homestay yang berdekatan bagi mereka yang datang jauh ke tempat ini. Buat tempahan awal sebelum ke Tanjung Simpang Mengayau terutama di musim cuti bagi mengelakkan kesulitan nanti. Ini kerana, resort dan homestay biasanya penuh terutama bila tiba cuti hujung tahun.
Aktiviti yang biasanya dibuat oleh mereka yang tiba di sini adalah aktiviti bergambar. Peminat fotografi akan menghabiskan banyak masa untuk sessi fotografi terutama di bahagian yang atas sekali. Anak-anak mungkin suka bermain-main sambil melukis (my kids suka buat :D) pemandangan di kawasan tersebut. Berhati-hati dengan kawasan yang curam dan licin terutama sekali anak-anak kecil. Ia agak merbahaya jika tanpa pengawasan ibubapa atau penjaga. Di bahagian sebelah bawah atau di pantai, ada kawasan untuk berenang. Sila berenang di kawasan tersebut dan bukannya di kawasan lain untuk keselesaan dan keselamatan anda.
Bagi mereka yang tidak pernah ke Tanjung Simpang Mengayau, ia terletak di dearah Kudat, kira-kira 25km dari bandar Kudat. Ia juga kira-kira 2 jam setengah pemanduan dari Kota Kinabalu, Sabah. Anda juga boleh lawati pantai-pantai lain berdekatan seperti Pantai Bak Bak semasa di Tanjung Simpang Mengayau. Namun, untuk pemandangan yang paling menarik dan tercantik, anda hendaklah pergi ke Tanjung Simpang Mengayau.
- Destinasi Pelancongan Keluarga: Tanjung Simpang Mengayau