
Kami bukanlah peminat Nasi Ayam Penyet. Bagi kami ia makanan yang agak berat (heavy) dengan satu pinggan nasi berserta ayam, tempeh, timun dan tomato boleh dikongsi bersama dua orang dewasa. Jika sambal yang dihidangkan tidak mencapai tahap piawaian peribadi pula, ia akan menjejaskan rasa nasi ayam penyet tersebut. Oleh itu, makanan ini adalah sesuatu yang kami makan hanya sekali sekala.
Ayam Penyet
Perkataan ‘ayam penyet‘ ini, pertama kali saya dengar, agak mengelirukan. Perkataan ‘penyet‘ jika tidak silap saya merujuk kepada keadaan yang hancur apabila dihempap atau dipijak (smashed). Oleh itu, jangkaan awal saya semasa memesan makanan ini adalah ayam dalam keadaan hancur atau leper dipenyet sesuatu. Namun, apabila tiba hidangannya, peha ayam masih dalam keadaan yang asal dan gebu sekali.
Ayam Penyet dimakan biasanya bersama nasi putih dan oleh itu, adakalanya kita panggilnya sebagai Nasi Ayam Penyet.
Apaila dipanggil begini pun sekali lagi ia boleh jadi mengelirukan kerana kita akan bayangkan ia dimasak bersama nasi seperti nasi goreng.
Makanan ini dikatakan berasal dari Jawa Timur (East Java) dan asal usulnya dikaitkan dengan bandar Surabaya Indonesia. Pakar-pakar ayam penyet diharapkan boleh membetulkan fakta ini jika ada yang tersilap menerusi petak komen di bawah.
Penyediaan Ayam Penyet
Bahan utama membuat ayam penyet adalah semestinya peha ayam yang diperap terlebih dahulu dengan bahan-bahan seperti jintan, ketumbar, halia, lada putih, garam, kari dsb. Untuk dapat rasa yang lebih hebat, ayam akan diperap semalaman. Namun, untuk tujuan komersial, perap 3 hingga 4 jam pun, rasanya ok juga.
Ayam yang telah diperap akan digoreng dan dihidangkan bersama tempeh dan tauhu goreng beserta sayur timun dan sambal. Ada juga makan bersama sup sekali. Namun, yang penting pada pendapat kami adalah ayam itu sendiri dan sambalnya.
Sekiranya ayam dapat diperap dengan baik dan digoreng cukup masak, ia akan memberikan rasa yang amat lazat dan lebih hebat dari KFC. Dicampur pula dengan sambal cili padi yang pedas berapi sehingga berair di mata akan memberi kesan yang amat hebat bagi mereka yang menikmati makanan ini.
Nasi Ayam Penyet Wak Doyok
Baru-baru ini kami telah mencuba makanan di sebuah restoran di Karamunsing Capital, Kota Kinabalu. Nama restoran tersebut ialah Dapur Nur Adelia. Ada banyak hidangan yang disajikan termasuklah Oxtail Asam Pedas Aaron Aziz, Sup Tulang Jantan, Nasi Goreng MUFC dan Set Ambuyat. Mungkin admin baru blog ini (yang agak layu kebelakangan ini) boleh ceritakan lebih lanjut di posting akan datang. Insya-Allah...
Apa-apa pun, saya pilih Nasi Ayam Penyet Wak Doyok untuk makan tengahari pada hari tersebut. Al-Maklumlah, perut dah lapar kerana lambat makan tengahari. Kami tiba di Dapur Nur Adelia pun sudah pukul 1.15 petang. Maka, masa untuk makan makanan berat.
Bagi saya Ayam Penyet Wak Doyok sedap rasanya.
Ayam dimasak dengan baik dan segala ramuan di dalamnya dapat dinikmati. Tahniah. Saya suka juga tempeh yang rangup dan sedikit masin. Memang kena cara penyediaannya.
Mungkin yang kurang adalah sambalnya. Bukan tak sedap. Cuma kurang pedas bagi saya. Saya lebih gemar yang panas berapi. Sambal ini mungkin bagi mereka yang tidak tahan pedas. Sesuai juga namanya Wak Doyok yang merujuk kepada selebriti fesyen Malaysia iaitu ‘Wak Doyok‘ atau nama asalnya Mohd Azwan Md Nor. Ia tidak pedas tetapi mencuit hati. (Admin baru tumpang menyampuk di sini : tahap kepedasan ngam2, just nice….kalau mau lebih pedas, boleh minta tambah cili api )
Apa-apa pun, bagi mereka yang berminat untuk mencuba makanan ini, bolehlah ke Dapur Nur Adelia di Karamunsing Capital Kota Kinabalu.
Wak Doyok pun dijemput sama untuk mencubanya.
The post Ayam Penyet Wak Doyok Karamunsing Capital appeared first on Dulu Lain Sekarang Lain.